Glittermaker

Wednesday, September 22, 2010

Taman Tamadun Islam Terengganu





Taman Tamadun Islam adalah sebuah taman tema yang mengetengahkan keunggulan seni warisan dan seni bina Islam dari seluruh pelosok dunia yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Tarikan utama disini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimber Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia), dan Mimbar Xian (China).

Bahan asas pembinaan Taman Tamadun Islam ini secara keseluruhannya menggunakan bahan buatan tempatan. Kira-kira 65% pembinaan menggunakan kepakaran tukang tempatan manakala selebihnya menggunakan khidmat profesional pakar pertukangan daripada luar negara. Kesemua 21 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina pada nisbah skala 1:8 berbanding saiz asal.

Monday, September 20, 2010

Kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu


Pembinaan Kompleks Tabung Haji bernilai RM69.3 juta di Kuala Terengganu akan memudahkan urusan mereka terus ke Jeddah dan Madinah.

Dengan adanya kemudahan itu nanti, jemaah tidak perlu lagi bersesak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur - KLIA.

Majlis pecah tanah projek itu di sempurnakan Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Mukim Kuala Nerus, Terengganu. Turut berangkat Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Komplek Tabung Haji itu terletak 12 kilometer dari bandaraya Kuala Terengganu dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Ia di jangka siap sepenuhnya pada 2012 di tanah seluas 3.2 hektar milik TH Berhad.
Apabila siap nanti, kompleks itu akan dilengkapi dengan 182 bilik, dewan serbaguna, kolam renang, taman tema serta beberapa kemudahan lain.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam ucapanya kompleks yang akan dibangunkan anak syarikat milik penuh TH iaitu TH Properties Sdn Bhd akan lebih tersusun untuk bakal Haji nanti.

Manakala bagi jemaah dari Pantai Barat, Sabah dan Sarawak, TH sedang membina sebuah kompleks di Sepang, Selangor yang dijangka siap penghujung 2013.

Sumber di petik dari Besonline.


Lapangan Terbang Sultan Mahmud





Lapangan Terbang Sultan Mahmud adalah sebuah lapangan terbang yang menguruskan penerbangan dari dan ke Kuala Terengganu, sebuah bandar raya di negeri Terengganu, Malaysia. Lapangan terbang ini terletak 15km dari pusat bandar. Dalam tahun 2005, lapangan terbang ini menguruskan 419,475 penumpang dengan 4,623 pergerakan kapal terbang.

Pada bulan Januari 2008, Kerajaan Malaysia telah meluluskan RM200 juta bagi menaik taraf lapangan terbang ini bagi dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa. Hal ini termasuklah memanjangkan landasan terbang dan menaik taraf terminal lapangan terbang ini.

Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa setelah kerja naik taraf diselesaikan. Ia mungkin akan memulakan penerbangan antarabangsa ke Singapura, Kunming, Hong Kong dan lain-lain. Malaysia Airline telah bersetuju dengan Tabung Haji bahwa ia akan juga membawa penumpang ke Tanah Suci Mekah melalui Jeddah dan Madinah.

Pada Oktober 11,2008, sebuah Boeing 747-400 Penerbangan Malaysia mendarat di sini pada jam 14:56 dari Kuala Lumpur di mana pesawat tersebut adalah Boeing 747 pertama mendarat disini. Sebelum mendarat, ia terbang di kawasan berdekatan dari LTSM. Pesawat tersebut bersedia menuju ke Jeddah dan Madinah pada musim Haji ini.

Friday, August 27, 2010

Tarian Gamelan


Tarian Gamelan merupakan salah satu tarian melayu klasik. Tarian klasik ini mula direkodkan dan dipersembahkan di Istana di Empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke 17. Ia mula dipersembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan, Pahang pada tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, Putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga, dengan Wan Esah yakni adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang.

Ia mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.

Menurut Tengku Mariam, pada asalnya tarian ini terdiri daripada 77 jenis Gamelan. Tetapi pada hari ini hanya tinggal 33 jenis sahaja berikutan kesan daripada ketiadaan tenaga pengajar jenis tarian itu lagi. Antara 33 jenis tarian yang masih tinggal itu adalah seperti Timang Burung, Ayak-ayak, Lambang Sari, Ketam Renjung, Geliung, Lantai Lima, Kending Gajah, Togok Rompin, Kunang-kunang Mabuk, Galuk Merajuk, Silatin, Lolo dan Monab.

Tarian ini yang mana di persembahkan secara eksklusif oleh penari wanita boleh dipentaskan secara dalaman ataupun persembahan terbuka. Unsur Jawa boleh dilihat dari segi tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan adat tarian melayu.


Tarian Inang


Tarian Inang adalah versi moden terhadap tarian tradisional Mak Inang. Ianya ditarikan pada majlis keramaian orang ramai. Tarian ini mempunyai tempo yang pantas dan diiringi dengan alat muzik rebana, biola dan gendang.

Lagu dan tarian mak inang ini berasal daripada zaman kesultanan Melaka. Lagunya dikatakan telah digubah di atas titah perintah daripada Sultan Mahmud Shah yang berkemungkinan untuk tujuan melenakan baginda diperaduannya.

Adalah sangat lemah gemalai tariannya dan mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian untuk ditarikan di Istana Diraja. Ianya turut dinamankan juga sebagai Tarian Si Kembang Cina kerana banyak terdapat pengaruh cina terhadap muziknya. Kadangkalanya penari-penarinya mengunakan skaf panjang semasa melakukan persembahan.


Air Terjun Di Gunung Berembun


Pemgembaraan ke Gunung Berembun membawa pengalaman menakjubkan buat mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia kembara.

Mana tidaknya, anda akan terpegun apabila melihat betapa indahnya air terjun, landskap sungai yang teratur rapi, kawasan pokok bonsai yang tumbuh liar, kepelbagaian hidupan dan tumbuh-tumbuhan serta laluan yang mencabar, semuanya membuatkan pengembaraan yang menyeronokkkan.

Terletak di Dungun, Terengganu, Gunung Berembun yang mempunyai ketinggian 2077 meter (6,817 kaki), terkenal dengan pemandangan air terjun yang memukai pandangan sesiapa. Gunung ini amat sesuai untuk pencinta alam yang ghairah melihat keindahan alam.

Menariknya terdapat tujuh kolam di Puncak Lansir dipercayai mengikut cerita mitos dimiliki oleh Puteri Ulik Mayang pada zaman dahulu kala.


Lata Belatan




Lata Belatan terletak di dalam
Hutan Simpan Gunung Tebu dalam kawasan Pentadbiran Hutan Terengganu Utara. Ianya merangkumi kawaasan seluas 20 hektar dan terletak kira-kira 15km ke selatan Bandar Jerteh atau 103 km dari Bandar Kuala Terengganu.

Bagi tujuan keindahan semulajadi, seluruh kawasan dalam kompatment 49 dan 50 dengan keluasan lebih kurang 403 hektar yang meliputi kawasan hutan lipur ini telah dikekalkan. Hutan lipur ini telah di majukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1985.

Bagi mereka yang ingin cabaran dan merasai suasana pengembaraan hutan yang lebih bermakna, bolehlah mendaki ke puncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1097 meter dari aras laut Pendakian ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai kepuncaknya. Keadaan cuaca yang sejuk dengan persekitaran tumbuh-tumbuhan gunung yang berbagai jenis serta pemandangan yang menarik menambahkan lagi keunikkan kawasan ini.

Antara kemudahan yang disediakan disini ialah gerai makan, tandas awam, surau, pondok rehat, jambatan gantung, pondok pengawal dan tapak perkhemahan.

Tuesday, August 17, 2010

Aktiviti Mencandat Sotong




Aktiviti mencandat sotong amat sinonim dengan perairan negeri Terengganu dan lazimnya apabila menjelang akhir bulan April hingga Julai, pasti ramai datang berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman itu.

Bagi mereka yang pertama kali mencuba aktiviti ini akan terasa teruja lebih-lebih lagi apabila terbayangkan hasil tangkapan yang mampu mencecah sehingga puluhan malahan ratusan dalam satu malam jika terkena pada kandangnya. Itu pun jika seseorang itu tidak mendapat mabuk dek buaian bot yang berhayn mengikut alunan ombak terutama apabila sauh bot diturunkan.

Oleh itu, bagi mereka yang kurang biasa melakukan aktiviti candat ini, pasti anda mengambil ubat penahan mabuk laut terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada berputih mata dan makan hati apabila melihat rakan lain seronok menaikkan seekor demi seekor hasil tangkapan.

Lazimnya, kegiatan ini akan bermula ketika waktu matahari terbenam sehingga fajar menyinsing kerana sotong akan mula berkumpul dan bermain di sekitar kawasan bos disebabkan tertarik dengan cahaya lampu yang dipasang.

Kerana itulah di persisiran laut di seluruh negeri Terengganu bermula Kemaman sehinggalah ke Besut terutama perairan Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Bidong pada waktu itu, kelihatan bagaikan ada pesta di tengah laut apabila diterangi dengan sinaran lampu yang ada pada bot-bot nelayan ini.

Antara candat yang sering digunakan ialah candak jenis twist, udang, umpan, buntai dan pelbagai jenis candat yang mempunyai kail melebihi sepuluh mata yang dilekatkan pada timah dan dibaluti dengan kain yang berwarna warni.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, aktiviti mencandat sotong telah mula dipromosikan sebagai satu daripada aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri sejak tahun 1990 lagi.

"Jika dahulu, aktiviti ini merupakan kegiatan yang dilakukan oleh nelayan untuk mencari rezeki, namun kini ia dijadikan sebagai aktiviti menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

"Kini apabila tibanya musim mencandat, nelayan juga memperolehi peluang untuk menambahkan sumber pendapatan mereka dengan membawa pelancong tidak kira dari dalam atau luar negeri untuk mencuba aktiviti ini dengan sewa bot RM500 bergantung pada saiz bot", katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, MTPNT dengan kerjasama Tourisam Malaysia giat mempromosikan aktiviti ini dengan mengadakan Fiesta Mencandat Sotong di Pulau Redang sejak tahun lepas.

Pakej-pakej untuk kegiatan ini turut diselikan dengan pakej penginapan bagi menarik bukan sahaja untuk pelancong tempatan tetapi luar negara yang diadakan dengan kerjasama pengusaha pelancongan di negeri ini.

Mereka yang berminat menyertai aktiviti ini boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada agensi-agensi pelancongan di negeri ini, MTPNT atau Pelancongan Malaysia.

Sumber di petik dari Tourism Malaysia.




Wednesday, August 11, 2010

Bukit Puteri





Bukit yang tersergam megah menghala ke Kuala Sungai Terengganu dan Laut China Selatan menjadi saksi sejarah pembangunan bandar Kuala Terengganu. Kedudukkannya yang strategik itu menjadikan perbukitan ini satu kawasan penting pada zaman dahulu sebagai pusat kawalan dan pertahanan kerajaan.

Asal nama Bukit Puteri ini tidak dapat dikesan tetapi dalam persejarahan Terengganu ada dinyatakan Bukit Puteri itu telah pun wujus sejak abad ke 16 lagi. Ini membuktikan kepentingan tempat ini kepada Kerajaan Terengganu bagi menghadapi musuh-musuh daripada luar khusunya yang datang dari arah laut.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II (1831-1836), Sultan Muhamad (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876) Bukit Puteri telah menjadi benteng kubu peperangan saudara yang berlaku pada masa itu. Ia meliputi kawasan seluas 0.688 hektar dan tingginya lebih kurang 200 meter.

Di atas bukit ini juga terdapat sebatang tiang bendera untuk dinaikkan bendera Diraja pada hari-hari kebesaran. Tiang bendera mula dipasang dalam tahun 1899 lagi iaitu pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Tinggi tiang itu lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter. Bagaimanapun tiang yang ada sekarang ini bukanlah yang asal tetapi yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Di sebelah bawah tiang bendera, terdapat kesan tempat yang dijadikan sebuah bilik batu gua dalam tanah. Ia berkemungkinan tempat menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu. Di sebelah atasnya terdapat kesan-kesan sebuah singgahsana raja sebagai tempat kawalan.

Di atas bukit ini juga terdapat tiang api atau rumah api menandakan Kuala Negeri pada kapal-kapal dilaut. Pada masa dahulu terdapat beberapa pucuk meriam di atas benteng yang menghala ke laut dan ke darat. Kini meriam-meriam itu ada di atas tanah sahaja tanpa dijaga dan sesetengahnya telah dipindahkan kebeberapa tempat di bandar Kuala Terengganu dan juga ke kawasan Istana Badariah sebagai perhiasan.

Meriam-meriam itu terdiri daripada pelbagai buatan seperti buatan Portugis, Sepanyol dan ada juga yang dibuat oleh orang-orang melayu sendiri. Di antara nama-nama meriam yang pernah ditempatkan di Bukit Puteri itu ialah Sri Johor, Sri Buih, Laila Majnun dan Sri Jamlor.

Satu lagi kesan sejarah yang masih terdapat di atas Bukit Puteri hingga sekarang ialah sebuah Genta Besar. Genta ini sentiasa ada di atas Bukit Puteri sejak daripada zaman Raja-Raja dahulu lagi. Sekiranya rosak genta itu diganti dengan yang lain pula. Genta yang ada sekarang ini diperbuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III iaitu kira-kira dalam tahun 1908.

Sumber dipetik dari Arkib Negara Malaysia.


Istana Maziah




Istana Maziah, dibina dengan senibina Perancis, Istana Diraja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi Diraja atau majlis keraian rasmi negeri.

Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, Istana ini menjadi kebanggan rakyat Negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, majlis perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.

Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar sewaktu dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac 1870.

Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar Bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sawid Abdullah Bin Zin Al-Idrus, Muhammad Bin Abdul Rahim(Encik Mat), dan Dato' Mata-Mata.

Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu. Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920-1942) dan Sultan Ismail Nasirruddin Shah (1945-1979). Tambahan turut dibuat ke atas Istana Maziah pada 1972 dan 1998.

Istana Maziah adalah kediaman rasmi Sultan Terengganu. Ia terletak di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.

Para pelancong boleh ke Istana Maziah menggunakan Jalan Sultan Zainal Abidin atau Jalan Hiliran. Untuk ke Terengganu, anda boleh menggunakan kapal terbang, kereta, bas atau teksi.




Bas Bandar Terengganu




Pertama kali di Terengganu, bas bercirikan tradisional istana lama melalui rekabentuk atap yang unik, beridentitikan kebudayaan negeri diperkenal kepada orang ramai.

Dua bas berkenaan diberi nama sempena dengan dua lokasi pelancongan terunggul Terengganu iaitu "Kenyir" dan "Redang".

"Bas Bandar" memulakan operasi bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam setiap hari membawa penumpang ke destinasi pelancongan antaranya Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai, Pusat Kraftangan di Chendering, Pasar Besar Payang, Bukit Puteri, Istana Maziah dan Muzium Negeri serta beberapa lagi tempat menarik di sekitar Kuala Terengganu.

Bas ini bakal menjadi tarikan baru pelancong untuk melawat ke lokasi pelancongan sekitar Kuala Terengganu.



Friday, August 6, 2010

Gunung Padang


Gunung Padang merupakan salah satu puncak gunung yang terletak di daerah Hulu Terengganu, Terengganu mempunyai ketingian setinggi 1315 meter (4314 kaki). Gunung Padang mempunyai huan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas dan hutan Montane. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.



Gunung Tebu



Gunung Tebu merupakan sebuah gunung yang terdapat di Negeri Terengganu, Malaysia. Gunung Tebu mempunyai ketinggian 1039 meter dan Gunung Tebu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokap Atas. Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian dapat dilihat dari Puncak Gunung Tebu jika tidak berkabus tebal.

Keunikan Gunung Tebu ialah di puncaknya terdapat sebuah kubur dan tempat yang menjadi pilihan pesilat-pesilat untuk bertapa. Lokasi Gunung Tebu terletak di Hutan Lipur Lata Belatan iaitu 24km dari Pekan Jertih melalui Jalan Raya Kuala Terengganu-Jertih, 118km dari Kuala Terengganu. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Permaisuri atau Pekan Jertih. Dari Pekan Jertih, kita terus menuju ke Kampung Jabi untuk ke Hutan Lipur Belatan.

Hutan Lipur Lata Belatan, adalah titik permulaan untuk mendaki Gunung Tebu. Di sini terdapat resort dan pondok Jabatan Hutan. Setiap pendaki perlu mendaftarkan diri di pondok berkenaan sebelum memulakan pendakian. Setiap orang dikenakan bayaran sebanyak RM5 sebagai permit mendaki.

Disini juga para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkhemah dan bersiar-siar. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah gerai-gerai, astaka serta dilengkapi dengan kemudahan elektrik.


Pantai Dendong



Pantai Dendong sebagai Bandar Bistari yang terletak di Daerah Besut yang melibatkan kawasan seluas 1600 hektar dalam keadaan semulajadi serta kedudukan yang strategik dalam lingkaran pelancongan persisiran pantai.

Komponen warna kehijuan dedaun dengan warna keemasan pepasir sudah cukup untuk menenangkan jiwa yang menikmatinya. Di sini juga terdapat sebuah bukit yang amat menarik pandangan pelancong. Di sini, turut disediakan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. keindahan pantainya amat mengasyikkan sesiapa sahaja selain masih mengekalkan kehijauan.

Selain Pantai Air Tawar, Pantai Dendong juga menjadi destinasi percutian ataupun beriadah bersama-sama keluarga di hujung minggu. Sementelah jarak antara kedua-dua destinasi perkelahan ini tidak jauh dan mempunyai tarikan masing-masing.



Wednesday, August 4, 2010

DESA UKIRAN KAYU






Pembinaan Desa Ukiran Kayu adalah manifestasi kepada "Besut Daerah Ukiran Kayu yang telah diistiharkan pada 12 Ogos 1999 iaitu sebagai pengiktirafan ke atas pengukir-pengukir kayu yang tersohor di Daerah Besut.

Desa Ukiran Kayu dibina di kawasan Istana Tengku Long yang dibina oleh Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam, Raja Besut ke Empat pada tahun 1875. Istan ini dibina dengan di hias ukiran kayu yang menarik dan mengagumkan.

Desa Ukiran Kayu ini merupakan senibina rumah-rumah baru dan lama yang mengekalkan senibina tradisional untuk pusat dinamik perusahaan kraftangan terutamanya seni ukiran. Desa Ukiran Kayu ini dibina pada awal tahun 2005 dan siap pada bulan jun2007 serta dibuka dengan rasminya pada 21 Februari 2008.

Sumber dipetik dari desaukirankayu.blogspot.com



Pantai Bukit Keluang



Pantai Bukit Keluang mempunyai tarikan tersendiri yang boleh memukau para pengunjung tempatan dan luar negara dengan keindahan dan keunikannya. Selain itu, para pengunjung ke Kuala Besut juga berpeluang untuk mendapat pengalaman menarik dari aktiviti-aktiviti pilihan tersendiri seperti memancing, bermain wau dan lain-lain lagi.

Tempat ini terletak 4km dari Pekan Kuala Besut. Boleh dilawai melalui jalan darat sama ada teksi dari Kuala Besut atau Jerteh. Melalui jalan dari Kuala Besut ke Jerteh, terdapat sebuah pintu gerbang pada laluan tepi untuk kesana.

Pantai Bukit Keluang yang terletak kira-kira 19km dari Bandar Jerteh juga merupakan salah sebuah Pusat Peranginan yang utama di daerah ini. Ianya juga sama sebagaimana pantai-pantai lain yang terdapat di Besut yang menjadi sumber tarikan semulajadi dan tersendiri dengan pasir pantai yang bersih dan bukit yang tersergam megah itu.

Di sini, terdapat banyak kemudahan seperti rumah rehat, restoran, tandas awam, wakaf untuk berehat dan lain-lain lagi. Kehijuan hutan yang belum terusik mendamaikan mata yang memandang. Pantainya yang bersih dan lautan yang kebiruan selain keindahan pulau-pulau kecil yang boleh dilihat dari kejauhan, menjadikan destinasi pelancongan ini begitu terkenal bagi para pengunjung.



Monday, August 2, 2010

Rodat


Permainan Rodat merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Permainan ini terdiri dari satu pasukan terdiri daripada pemukul rebana tar, orang menenggak dan mak inang. Pemukul rebana juga bertugas sebagai penyanyi bagi mengiringi orang menenggak dan mak inang. Ketua kumpulan ini dinamakan Tukang Adi yang akan membacakan lagu-lagu rodat dari kitab Hadrah. Kitab ini dipercayai dari Timur Tengah. Biasanya lagu-lagu rodat ialah tentang pemujian terhadap Tuhan dan Nabi. Namun ada kalanya juga telah di melayukan mengikut suasan semasa.

Rodat selalunya dipertunjukkan pada waktu malam. Biasanya dari jam sepuluh malam hinggalah fajar menyinsing. Pertunjukkan diadakan apabila adanya majlis-majlis kahwin, kenduri, khatan, pesta-pesta perayaan atau temasya main pantai.

Mak Inang adalah merupakan tarikan utama terhadap sesebuah kumpulan rodat. Inang yang terdiri daripada gadis atau perempuan muda hanya keluar sekali sekala sahaja dan sentiasa diawasi oleh kumpulan tenggak.

Pada zaman dahulu, setiap kali inang keluar, para penonton khususnya pemuda akan melontarkan rokok dan ada kalanya duit kepada meraka ini.



Permainan Wau


Permainan Wau ini juga dikenali dengan layang-layang. Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan sejak kurun ke 15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat. Begitupun wau bulan sangat digemari oleh orang melayu. Reka corat biasanya bermotifkan awan larat akan menghiasi kebanyakkan wau ayng dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna. Selain dijadikan bahan permainan, wau juga menjadi hasil kraftangan dan hiasan dinding.

Pada kebiasaanya wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang berwarna warni itu.


Saturday, July 31, 2010

HULU TERENGGANU




Hulu Terengganu atau Ulu Terengganu merupakan sebuah daerah yang agak terpencil di Negeri Terengganu namun mula dikenali setelah adanya projek hidroelektrik Kenyir. Kini tasik buatan manusia itu amat dikenali sebagai destinasi perlancongan.

Namun begitu kelahiran nama Terengganu Darul Iman itu sendiri ada kaitan yang sangat rapat dengan Hulu Terengganu. Ini kerana Batu Bersurat Terengganu yang menyatakan daerah ini yang mula-mula menerima Islam di Terengganu malah di Malaysia. Ia dijumpai di Kg. Buluh iaitu sebuah kampung di Hulu Terengganu.

Kuala Berang merupakan pekan paling dikenali di Hulu Terengganu. Masyarakat di sini lebih bertumpu di sini dalam urusan harian kerana pusat pemerintahan dearah di jalankan di sini. Segala macam pembangunan sudah diperlihatkan oleh Kuala Berang untuk menggambarkan Hulu Terengganu tidak sama seperti di tempat lain kerana lazimnya hulu itu diketahui akan terpencilnya sesuatu kawasan itu.



DUNGUN



Dungun merupakan sebuah daerah dalam Negeri Terengganu. Namanya dipercayai berasal daripada nama Pokok Dungun, sejenis pokok yang banyak tumbuh di kawasan paya air tawar. Dungun dipercayai telah dibuka oleh pendatan dari Pagar Ruyung, Sumatera, berdasarkan:

#kebanyakkan orang Dungun pada suatu masa dahulu berasal dari Kepulauan Indonesia.



Wednesday, July 28, 2010

Pantai Penunjuk, Kijal Kemaman




Pantai Penunjuk terletak di Kijal, Terengganu. Pantai yang sungguh cantik dengan air laut yang cetek amat sesuat untuk aktiviti perkelahan.