Glittermaker

Wednesday, August 11, 2010

Bukit Puteri





Bukit yang tersergam megah menghala ke Kuala Sungai Terengganu dan Laut China Selatan menjadi saksi sejarah pembangunan bandar Kuala Terengganu. Kedudukkannya yang strategik itu menjadikan perbukitan ini satu kawasan penting pada zaman dahulu sebagai pusat kawalan dan pertahanan kerajaan.

Asal nama Bukit Puteri ini tidak dapat dikesan tetapi dalam persejarahan Terengganu ada dinyatakan Bukit Puteri itu telah pun wujus sejak abad ke 16 lagi. Ini membuktikan kepentingan tempat ini kepada Kerajaan Terengganu bagi menghadapi musuh-musuh daripada luar khusunya yang datang dari arah laut.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II (1831-1836), Sultan Muhamad (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876) Bukit Puteri telah menjadi benteng kubu peperangan saudara yang berlaku pada masa itu. Ia meliputi kawasan seluas 0.688 hektar dan tingginya lebih kurang 200 meter.

Di atas bukit ini juga terdapat sebatang tiang bendera untuk dinaikkan bendera Diraja pada hari-hari kebesaran. Tiang bendera mula dipasang dalam tahun 1899 lagi iaitu pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Tinggi tiang itu lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter. Bagaimanapun tiang yang ada sekarang ini bukanlah yang asal tetapi yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Di sebelah bawah tiang bendera, terdapat kesan tempat yang dijadikan sebuah bilik batu gua dalam tanah. Ia berkemungkinan tempat menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu. Di sebelah atasnya terdapat kesan-kesan sebuah singgahsana raja sebagai tempat kawalan.

Di atas bukit ini juga terdapat tiang api atau rumah api menandakan Kuala Negeri pada kapal-kapal dilaut. Pada masa dahulu terdapat beberapa pucuk meriam di atas benteng yang menghala ke laut dan ke darat. Kini meriam-meriam itu ada di atas tanah sahaja tanpa dijaga dan sesetengahnya telah dipindahkan kebeberapa tempat di bandar Kuala Terengganu dan juga ke kawasan Istana Badariah sebagai perhiasan.

Meriam-meriam itu terdiri daripada pelbagai buatan seperti buatan Portugis, Sepanyol dan ada juga yang dibuat oleh orang-orang melayu sendiri. Di antara nama-nama meriam yang pernah ditempatkan di Bukit Puteri itu ialah Sri Johor, Sri Buih, Laila Majnun dan Sri Jamlor.

Satu lagi kesan sejarah yang masih terdapat di atas Bukit Puteri hingga sekarang ialah sebuah Genta Besar. Genta ini sentiasa ada di atas Bukit Puteri sejak daripada zaman Raja-Raja dahulu lagi. Sekiranya rosak genta itu diganti dengan yang lain pula. Genta yang ada sekarang ini diperbuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III iaitu kira-kira dalam tahun 1908.

Sumber dipetik dari Arkib Negara Malaysia.


0 comments:

Post a Comment