Wayang Kulit merupakan sejenis hiburan pementasan bayang yang terhasil dari patung yang dibuat daripada belulang (kulit lembu/kerbau/kambing). Terdapat pelbagai jenis wayang kulit bergantung kepada asal mereka. Ia merupakan seni tradisional Asia Tenggara merangkumi Thailand, Malaysia dan Indonesia, yang terutamanya berkembang di Phattalung wilayah selatan Thailand, Jawa dan disebelah timur semenanjung Malaysia seperti di Kelantan dan Terengganu.
Wayang Kulit dimainkan oleh seorang dalang yang juga menjadi narator dialog tokoh-tokoh wayang, dengan diiringi oleh muzik gamelan yang dimainkan sekelompok nayaga dan tembang yang dinyanyikan oleh para pesinden.
Dalam memainkan wayang kulit di balik kelir, iaitu layar yang diperbuat dari kain putih, sementara dibelakangnya disuluhkan lampu eletrik atau lampu minyak (dian), sehingga para penonton yang berada disebelah berlawanan layar dapat melihat bayangan wayang yang berada di kelir. Untuk memahami cerita wayang(lakon), penonton harus memiliki pengetahuan akan tokoh-tokoh wayang yang bayanganya di tampilkan di layar.
Wayang kulit lebih popular di Jawa bahagian tengah dan timur, sedangkan wayang golek lebih sering dimainkan di Jawa Barat.
Di Malaysia sahaja terdapat empat jenis persembahan wayang kulit iaitu Wayang Kulit Melayu, Wayang Kulit Gedek, Wayang Kulit Purwa (atau Wayang Kulit Jawa) dan Wayang Kulit Kelantan (atau Wayang Kulit Siam). Kesemua empat jenis wayang kulit ini hanya boleh ditemui di Semenanjung Malaysia.
0 comments:
Post a Comment